Gambar binaan istana Raja Maha Besar Benua Siam Narai di Lopburi yang menerima pengaruh senibina Parsi
----------------------------------------------------------------------------------------------
Sepintas lalu pengaruh Parsi telah mencorak kemasukan Islam di alam Melayu serta benua Siam. Pengaruh Parsi dalam tamadun Melayu jelas dapat dilihat dalam lapangan bahasa, kebudayaan dan keagamaan umpamanya kitab Taj al-Salatin banyak merujuk daripada kitab-kitab Parsi.[1] Betapa eratnya hubungan Melayu dan Parsi terjalin sehingga sejak awal-awal lagi kesultanan Melayu sudah memakai nama Syah dari bahasa Parsi yang melambangkan kedudukan mereka sebagai raja. Ketika itu pengaruh Parsi ini juga berkembang pesat di Shahr Nuwi Ayuthiya.
Menurut Dr Behzad Shahandeh, Sheikh Ahmad Qomi ialah ulama dari Iran yang hadir dalam pentadbiran kerajaan Ayuthiya pada kurun ke-16. Dari kerana kebijaksanaannya, beliau telah dilantik menjadi penasihat kewangan kepada raja Siam Cao Praya Phra Klang. Sheikh Ahmad juga diberi kuasa untuk membangunkan pentadbiran perlabuhan. Oleh kerana terlalu besar peranan dan kuasa yang dipegangnya, beliau dikatakan adalah orang nombor dua selepas raja Siam. Beliau juga menjadi pemimpin masyarakat Islam dengan gelaran Cao Phya Rattana Dhibodi dan bertanggungjawab mengembangkan agama Islam di Ayuthiya hingga ke selatan Siam. Selepas bersara, beliau dinaikkan gelaran atas kecemerlangannya kepada Cao Praya Boworn Racnayok oleh raja Siam Prasat Tong.[2]
Tinggalan bahasa Parsi dan Arab di Ayuthiya juga dikesan dalam bahasa Thai seperti kularb (mawar), kradat (kertas), kanja (sejenis dadah), prakaoma (cawat), chamod (air wangi), trachu (seimbang), patuan (satin), likae (sejenis drama), lakorn (drama), morakoo (paip hogah) dan lain-lain lagi.[3]
Professor Plublung Kongchana mendakwa Raja Siam Naresuan pernah membina sebuah masjid di Klong Srabua. Masjid Srabua kemudian diubah nama kepada Masjid Nurul Amal.[4] Seorang penyair sufi Aceh bernama Hamzah Fansuri dikatakan telah belajar bahasa Parsi di Ayuthiya.[5]
Adalah menjadi suatu budaya bagi penganut agama Buddha di Thailand apabila berkabung mereka memakai pakaian bewarna gelap. Adat ini dipercayai telah meniru tradisi berpakaian hitam dalam upacara perkabungan hari Asyura oleh penduduk Islam yang tinggal di Ayuthiya sejak kurun ke 14. Ringkasnya fakta persamaan secara umum digambarkan seperti berikut:
Tarikh- Butiran
>>1400 - Ayuthiya atau Benua Siam dikenali sebagai Shahr Nou menerima pengaruh Parsi.
Negeri Melaka muncul sebagai pusat perdagangan dan perkembangan agama Islam.
>>1600 - Perdana Menteri Siam Cao Praya Boworn Racnayok meluaskan agama Islam hingga ke selatan Siam.
Melaka menghadapi serangan musuh.
>>1700 - Benua Siam dijajah oleh tentera Phaya Taksin Chakri Sokho Thai, negara Siam ditukar kepada Thailand.
Melaka menghadapi serangan Belanda.
>>1800 - Tentera Thai menyerang Kedah dan membakar naskah-naskah Hikayat Merong Maha Wangsa habis-habisan, Inggeris meluaskan takluknya di Tanah Melayu.
Professor Srisak Vallipodom mengatakan panglima angkatan laut Siam yang bernama Phraya Rajbangson (atau Rajwangson) adalah seorang muslim. Walau bagaimanapun semua raja-raja Siam dikatakan beragama Buddha tetapi memberi izin kebebasan beragama kepada rakyatnya di Shahr Nuwi sehingga menyebabkan masjid dibina berhampiran wat Buddha dan ramai orang-orang Islam berkahwin dengan bangsa Thai. Orang-orang Islam tersebut menjadi nenek moyang kebanyakan bangsa Thai termasuk kerabat diraja.[6]
[1] Prof. Amat Johari 2006, Prakata Kamus Farsi-Melayu-Ingeris, DBP
[2] Dr Behzad Shahandeh 1995, Sheikh Ahmad Qomi and The History of Siam, Cultural Center Of the Islamic Republic of Iran, Bangkok 1995, Hal 221
[3] Prof. Pensri Karnjanomai 1995, A Lecture, The Muslim Role In The Time Of Ayutthaya And The Cultural Transference, Sheikh Ahmad Qomi and The History of Siam, Cultural Center Of the Islamic Republic of Iran, Bangkok 1995, Hal 223-224
[4] Assistance Professor Plubplung Kongchana, A Lecture, The Persians in Ayutthaya, Sheikh Ahmad Qomi and The History of Siam, Cultural Center Of the Islamic Republic of Iran, Bangkok 1995, hal. 240
[5] A Speech, Associate Professor Mohammad Bukhari Lubis, Sheikh Ahmad Qomi and The History of Siam, Cultural Center Of the Islamic Republic of Iran, Bangkok 1995, Hal 221
[6] Associate Professor Srisak Vallipodom, Faculty of Archaeology, Silpakorn University, a lecture The Role of Sheikh Ahmad Qomi in The Court of Ayutthaya, Sheikh Ahmad Qomi and The History of Siam, Cultural Center Of the Islamic Republic of Iran, Bangkok 1995, hal. 211
No comments:
Post a Comment